Salam sejahtera cikgu-cikgu yg budiman dan sangat dedikasi.

1. Mengikut kutipan data minggu lepas, 98% guru kita mempunyai telefon pintar dengan data internet yang cukup berfungsi untuk berkomunikasi melalui whatsApp dan telegram. Oleh itu, saya berharap pesanan saya sampai kepada pengetahuan 98% guru kita yang jumlahnya hampir 50 ribu. Baki 2% lagi, mohon rakan-rakan yang membaca mesej ini menyampaikan pesanan ini kepada mereka.

2. Tuan/puan pendidik yang bertugas di negeri Sabah sekalian.  Pertama, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kerana berusaha mencapai murid dengan kaedah PdP yang sesuai. Terima kasih kerana menyedari bahawa kita bukan lagi bercuti tetapi bekerja dari rumah sehinggalah tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Syukur kerana tuan/puan menjaga kesihatan untuk membolehkan kita berfikiran waras dan berusaha menjalankan tanggungjawab menyampaikan pendidikan kepada murid-murid, yakni pelanggan yang membolehkan kita diberi rezeki yang stabil dalam kemelut COVID-19.

3. Kedua, pada 13/4/2020, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) telah menyebarkan Panduan PdP Jarak Jauh Dalam Tempoh PKP dan sehingga sekolah dibuka semula, kepada semua PPD dan Pengetua/Guru Besar (PGB). Saya berharap cikgu-cikgu telah membaca panduan tersebut. Dalam pengenalan panduan itu dinyatakan data analisis kesediaan murid mengikuti PdP dalam talian dan analisis laporan bertulis yang diterima daripada sekolah tentang pelaksanaan PdP alternatif/ jarak jauh dari 18 Mac 2020 sehingga 9 April 2020. Daripada data tersebut, diputuskan agar PdP jarak jauh mulai 13 April 2020 dilaksanakan dalam tiga kaedah iaitu (1) dalam talian, (2) luar talian dan (3) campuran dalam dan luar talian.

4. Dalam usaha menambah baik kaedah PdP dan penyelarasan kerja, pelbagai kaedah pemantauan digunakan. Salah satunya adalah perekodan PdP melalui instrumen real data.  Instrumen ini ditadbir dan dikawal oleh JPNS untuk mengelakkan penyalahgunaan data. Instrumen tersebut dapat merekodkan aktiviti PdP guru dan sekaligus membekalkan catatan ringkas PdP guru bagi menggantikan RPH seperti panduan yang terkandung
dalam Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2020. Seperti RPH catatan ringkas tersebut adalah dokumen rasmi sekolah. Instrumen itu ditambah baik dari semasa ke semasa.

5. Data yang dikutip sebelum ini dalam tempoh PKP,  menunjukkan sebahagian besar murid kita tidak dapat mengikuti PdP dalam talian oleh pelbagai sebab. Namun kita tidak mahu menjadikan 'pelbagai sebab' yang sifatnya di luar kawalan kita, menjadi penghalang kepada penyampaian pendidikan kepada murid. Adalah tanggungjawab saya dan tuan/puan untuk berusaha agar TIADA MURID TERTINGGAL DALAM PEMBELAJARAN (no student left behind in learning) seperti gesaan KPPM.

6. Sehubungan itu, saya mengharapkan, dalam saluran telegram JPN SABAH-PdP ini, tuan/puan juga berkongsi aktiviti PdP luar talian yang dapat diikuti oleh semua murid terutama yang tidak mampu mengikuti PdP dalam talian.

7. Minggu hadapan, JPNS akan mengemukakan pelbagai jenis insentif kepada murid sebagai galakan menghasilkan pelbagai jenis hasil pembelajaran.

8. Ketiga, dalam keadaan guru-guru memerlukan kerjasama yang erat dalam membimbing dan memantau pembelajaran anak di rumah, saya amat berharap agar cikgu-cikgu memberikan arahan yang jelas dan bertatasusila ketika menghantar maklumat latihan murid melalui telefon, e-mel dan sebagainya. Courtesy begins with us.

Selamat mengajar. STAY AT HOME. BE SAFE & HEALTHY.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah
14 April 2020.